Monday, June 29, 2009

Integrasi Sosial Perkim di Ladang Kongsi 6, Bedong, Kedah.






Oleh : Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Prihatin dengan keperluan membangun modal insan warga kampung Ladang Kongsi 6, Bedong Kedah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Kedah dengan kerjasama Perkim Cawangan Kuala Muda dan Perkim Kebangsaan baru-baru ini telah mengadakan Program Integrasi Sosial susulan di perkampungan ini bermula pada 26 hingga 28hb Jun 2009.

Program ini disertai oleh pelajar-pelajar daripada Kelab Perkim Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan Maahad Tahfiz Simpang Kuala, Kedah sebagai anak angkat kepada warga kampung.
Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah menghimpunan 350 warga kampung yang terdiri daripada pelbagai kaum antaranya Melayu dan India bagi memastikan kelancaran perjalanan program tersebut.

Pelbagai aktiviti dijalankan selama berada di perkampungan ini seperti Bengkel Pembangunan Rohani kepada keluarga angkat, gotong royong membersihkan persekitaran kampung, aktiviti sukaneka antara kaum, penyampaian bantuan makanan kepada masyarakat India, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat kampung dan pelbagai lagi aktiviti telah dijalankan secara bersama dengan warga kampung.

Hj. Ismail Hj. Bakar selaku Pengarah Program merangkap Pegawai Perkim Negeri Kedah berkata, Program Dakwah Integrasi Sosial ini bukanlah julung kali diadakan di perkampungan ini, malah ianya telah dijalankan pada tahun lepas dengan penglibatan warga kampung serta beberapa institusi lain khususnya dalam membangunkan serta menerapkan nilai-nilai agama yang kukuh dikalangan masyarakat kampung.

“Walaubagaimanapun, program kali ini lebih berkonsepkan kepada keluarga angkat. Setiap keluarga di perkampungan ini diberikan anak-anak angkat yang terdiri daripada pelajar-pelajar daripada beberapa buah universiti . Dengan bantuan pelajar ini, kebanyakan keluarga angkat mereka dapat memanfaatkan isi kandungan bengkel kerohanian yang diberikan oleh anak-anak angkat mereka dengan baik,” ujar Hj. Ismail.

Penyerahan anak angkat ini telah disempurnakan oleh Datuk Hasbullah L. Isa selaku Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan. Dalam ucapan penyerahan anak angkat ini, Hasbullah berkata, program seperti ini perlulah digerakan dengan lebih kerap bagi memastikan ukhwah yang terjalin antara warga kampung dengan Perkim tidak terhenti setakat ini sahaja, malahan ianya berkekalan dalam jangka masa yang panjang.

“Perkim bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja dakwah dan kebajikan sosial sepertimana yang diadakan di kampung ini dan berharap agar kampung ini dijadikan sebuah kampung angkat Perkim dalam jangka masa panjang,” jelas Hasbullah selepas menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM 17 ribu kepada Tuan Hj. Salim Abdul Hamid selaku Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Kedah untuk membaik pulih Surau An-Nur dan bilik air di kampung tersebut.

“Melalui pendekatan integrasi sosial yang dijalankan oleh pihak Perkim, sedikit sebanyak dapat memberikan sumbangan yang besar kepada warga penduduk di sini dan bermula pada bulan Januari 2009, kelas-kelas agama telah dilaksanakan diperkampungan ini dengan sokongan penduduk kampung,” kata Hasbullah.

Selain itu, beliau mencadangkan agar Perkim dan agensi-agensi kerajaan dapat bekerjasama mengadakan kelas-kelas tuisyen percuma kepada anak-anak kampung yang terdiri daripada pelbagai kaum yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini dan kursus perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) perlu didedahkan kepada kampung ini bagi menaiktaraf ekonomi mereka.

Azhari Jamaluddin, salah seorang penduduk kampung yang telah lama menetap di kampung ini berkata, “Program seperti ini perlulah diteruskan oleh Perkim bagi memastikan masyarakat kampung ini mendapat pendidikan agama yang mencukupi khususnya kepada anak-anak dan ibu bapa.

“Program-program pembangunan kerohanian di kalangan masyarakat masih lagi ditahap sederhana dan memerlukan bimbingan lanjut dalam memahami dan menghayati Islam sebagai cara hidup,” ujar Azhari.
Rama salah seorang penduduk India di kampung ini berkata, “Program Integrasi Sosial yang sudah lama terjalin antara masyarakat Melayu di perkampungan ini memudahkan lagi mereka untuk berhubung di antara satu sama lain.”

“Ini dapat dibuktikan dengan keterlibatan antara warga India dan Melayu dalam menjalankan aktiviti sukaneka melalui konsep perpaduan dan tiada yang mustahil untuk dijalankan segala aktiviti untuk menambahkan lagi keakraban antara warga kampung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan ianya menepati konsep 1 Malaysia yang di war-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak,” jelas Rama.

Sumayyah Ahmad ,22, tahun pelajar Kelab Perkim Kuis pula berpendapat, pihak Perkim perlu lebih kerap menjalankan program seperti ini dengan kerjasama pelbagai pihak. Modul-modul bengkel yang disediakan oleh pihak Perkim amat baik dilaksanakan dalam kelompok keluarga angkat yang akhirnya memberikan impak yang besar ke atas keluarga angkat.

Beliau juga menyarankan agar program ini dapat dilaksanakan dengan peruntukan masa yang panjang sekurang-kurangnya seminggu bagi memberikan kesan yang maksimum keatas para peserta. Penglibatan warga kampung daripada pelbagai kaum perlu diraikan bagi memastikan objektif program tersebut menampakkan hasilnya dengan lebih menyeluruh.

Majlis diserikan lagi dengan majlis penutup dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka, pertandingan mewarna dan juga penyampaian sijil penghargaan kepada peserta yang disampaikan oleh Tuan Hj. Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan.

Turut hadir, Tuan Hj. Salim Abdul Hamid selaku Setiausaha Kehormat Perkim Negeri Kedah, Hj. Abdul Hamid Abdul Kadir selaku Pengerusi Perkim Cawangan Daerah Kuala Muda, Hj. Amran Abdullah selaku Pegawai Dakwah, Kebajikan dan Kaunseling Perkim Kebangsaan, Mohd. Mustaqiim Asmuji selaku Ketua Unit Penyelidikan dan Latihan Perkim Kebangsaan, Suariza@Hidayah Muhammad selaku Ketua Unit Kebajikan dan Kaunseling Perkim Kebangsaan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b12.JPG

Datuk Hj. Hasbullah L. Isa selaku Setiausaha Agung menyerahkan cek RM 17 ribu kepada Tuan Hj. Salim Abdul Hamid selaku Setiausaha Kehormat Bahagian Negeri Kedah untuk tujuan Program Integrasi Sosial di kampung tersebut.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b32.JPG

Penduduk kampung bersama-sama pelajar Kelab Perkim Univesiti di Majlis Program Integrasi Sosial.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b52.JPG

Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung yang dilakukan oleh Kelab Perkim bersama penduduk kampung.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b62.JPG

Hj. Amran Abdullah beramah mesra bersama anak-anak penduduk kampung.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b82.JPG

Acara tarik tali yang menjadi tarikan penduduk kampung untuk bersama-sama memeriahkan acara sukaneka.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b92.JPG

Datuk Hj. Hasbullah L. Isa, Penolong Setiausaha Agung Kehormat (kiri) menyampaikan sumbangan beras dan makanan kepada penduduk kampung.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b102.JPG

Hj. Salim Hj. Bakar selaku pengarah program (berbatik kuning) menyampaikan sumbangan beras dan makanan kepada masyarakat kampung.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b112.JPG

Sumbangan keperluan makanan harian kepada masyarakat India di Kampung Ladang Kongsi 6, Bedong, Kedah.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b121.JPG

Hj. Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah Perkim (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka kategori kanak-kanak.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b132.JPG

Pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.





No comments:

Post a Comment